Friday, January 29, 2016

Kewangan bukan penyebab perceraian : Adam

Kuala Lumpur: Penyanyi Adam AF, 33, menafikan punca perceraian kali keduanya dengan pelakon Fiza Halim, 35, pada September tahun lalu disebabkan masalah kewangan dan mengongkong bekas isterinya itu seperti yang didakwa segelintir pihak.


Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman berkata, sepanjang bersama Fiza mereka menjalani kehidupan rumah tangga sama seperti pasangan lain.

"Itu adalah kata-kata nakal. Sepanjang kami bersama tidak pernah sekali saya mengongkong aktiviti atau kerjaya seninya. Malah, tidak pernah berlaku pun masalah kewangan atau saya tidak bekerja.

"Ingin dijelaskan, semua tuduhan berkenaan tidak berlaku dan tidak benar sama sekali. Orang yang membuat tuduhan itu hanya pandai bercakap dan membuat spekulasi saja. Lebih baik menjaga hal masing-masing daripada menyibuk kisah orang lain," katanya kepada Harian Metro.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 26 September 2013 sebelum bercerai pada 28 April 2014, namun rujuk semula pada 17 Julai tahun yang sama.

Mereka kemudian bercerai lagi pada September tahun lalu.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Jatuh ini enggan menuding jari kepada bekas isterinya berikutan perceraian itu.

"Bagi saya, masalah rumah tangga kami biarlah kami dan Allah SWT saja yang tahu. Apa saya boleh katakan, Fiza tidak ada sebarang kesalahan.

"Namun, memandangkan status kami sebagai selebriti membuatkan peminat ingin ambil tahu. Justeru, cukup sekadar orang mengetahui kami sudah berpisah. Selebihnya biarlah saya simpan dan tidak ada guna untuk dikongsikan dengan orang lain," katanya.

Monday, January 18, 2016

Zizan akrab dengan bekas isteri Eizlan Yusof?

Sebelum ini katanya mereka tidak lagi bekerja­sama kerana mahu mencari haluan masing-masing. Kata putus untuk tidak bersama dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak dan cakap-cakap belakang mengatakan artis serba-boleh ini tidak memecat pengurusnya memang tidak benar.
Sudah lama juga artis dan bekas pengurusnya tidak bersama.
Sekarang dia mempunyai pengurus baru dan bekas pengurusnya kini menyertai syarikat pengurusan artis lain.

Bagaimanapun, baru-baru ini ada cerita menarik sampai ke pendengaran Cik Pang mengenai artis serba-boleh itu dan bekas pengurusanya serta punca mereka tidak lagi bekerjasama.
Cerita teman rapat dengan artis ini, sebenarnya artis itu memang memecat bekas pengurusnya kerana insiden berlaku di depan mata.
Kisahnya, orang keliling dalam industri memang tahu bekas pengurus artis ini baik dengan pemilik syarikat pengurusan dan artis yang dia bekerja sekarang.
Waktu itu artis terbabit tidak fikir perkara negatif kerana tahu industri ini kecil dan tentu mereka kenal dan rapat antara satu sama lain. Berkenalan baik sesama pengurus artis pada tanggapan artis itu boleh memperluaskan jaringan kerjasama.
Memang bekas pengurusnya memperluaskan jaringan kerjasama tetapi kerjasama itu lebih diberikan kepada syarikat dan artis yang dia bekerja sekarang bukan kepada artis serba-boleh itu walaupun waktu itu mereka bekerjasama.
Artis itu berang kerana bekas pengurusnya menawarkan peluang kepada artis tempat dia bekerja sekarang mengadakan persembahan sewaktu menerima tawaran daripada pengajur dengan alasan artis serba-boleh itu tidak dapat melakukan persembahan kerana jadual penuh.
Sedangkan apabila artis itu meneliti jadual kerjanya, dia mendapati tarikh yang dinyatakan dia tidak terikat dengan sebarang kerja.
Apabila disoal siasat, perkara itu bukan kali pertama berlaku tetapi berkali-kali. Sebaik tahu kebenarannya, artis itu membuat keputusan memecat bekas pengurusnya.
Jadi itulah kisah sebenar apa yang berlaku antara artis serba-boleh dengan bekas pengurusnya. Bila mendengar perkara sebenar, bagi Cik Pang artis serba-boleh itu mengambil tindakan bijak. Diharap perkara seperti ini menjadi pengajaran buat artis mahupun pengurus mereka yang lain.

Saturday, January 16, 2016

Amy terseliuh bahu, luka ibu jari


Kuala Lumpur: Penyanyi rock, Amy Search cedera selepas terjatuh dari pentas ketika mengadakan persembahan dalam sebuah konsert, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, Amy, 58, terseliuh bahu dan luka di ibu jari tangan.
Video berdurasi 24 saat yang kini viral di Internet menunjukkan Amy yang sedang menyanyi tiba-tiba ‘hilang' akibat terjatuh dari pentas setinggi kira-kira satu setengah meter itu.
Amy turut memuat naik video berkenaan di akaun Instagram miliknya dan memaklumkan bahunya terseliuh.
Menurut Amy, ketika kejadian dia sedang menyampaikan satu daripada lagu popularnya, Aku Dah Bosan dan tidak menyedari dia sudah berada di hujung pentas.
Walaupun terjatuh, Amy tetap meneruskan persembahannya hingga tamat.

Ini realiti, kata Shah

Singapura: Pelakon Shah Iskandar, 34, dan pasangannya, Siti Sarah Mohd Noor, 31, kini suami isteri selepas diijabkabulkan 4.23 petang, di sini, hari ini.
Shah Iskandar melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz di The Grand Ballroom, Moda, Jalan East Coast.
Pasangan itu dinikahkan Kadi Pejabat Pernikahan Orang Orang Islam Singapura, Mohd Khir Ahmad, 46, dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd Noor Ahmad, 64.
"Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan hari ini. Debaran sebelum akad nikah hanya Allah saja tahu. Malah, sejak semalam lagi saya tak boleh tidur lena.
"Mulanya rasa seperti dalam babak lakonan pula, tetapi saat melihat wajah Sarah dan keluarga di depan mata, baru saya sedar ia adalah realiti," katanya.
Shah menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin emas, wang hantaran berjumlah RM30,000 beserta dua dulang hantaran berbalas dua daripada pihak perempuan.

Majlis itu turut dihadiri sanak saudara, teman rapat dan rakan media.
Siti Sarah adalah ahli perniagaan dan mereka berkenalan sejak tiga tahun lalu.
Majlis persandingan kedua mempelai akan diadakan pada malam ini di lokasi sama berkonsepkan songket.

Thursday, January 14, 2016

Keith nafi isteri halang promosi

Kuala Lumpur: Pelakon Keith Foo, 33, menafikan dakwaan isterinya Kim Raymond tidak membenarkan dia terbabit dalam siri promosi filem terbaru lakonannya Langit Cinta di luar Kuala Lumpur kerana cemburu dengan kehadiran pelakon wanita lain.

Keith ketika dihubungi berkata, Kim sentiasa ada bersamanya dan tidak timbul soal dia cemburu dengan pelakon wanita lain.
“Saya tak faham apa motif sebenar mereka menyebarkan cerita begitu," katanya.
Dalam pada itu, Keith juga dikatakan gagal hadir bagi menjayakan sesi temuramah untuk mempromosikan filem berkenaan.
Difahamkan sesi terbabit bermula jam 8 pagi, namun Keith memberi alasan dia dalam perjalanan namun langsung tidak muncul.
"Siapa cakap saya tidak memberikan kerjasama? Setakat ini saya ikut semua jadual promosi yang ditetapkan.
"Saya sendiri tidak tahu menahu dari mana dan siapa yang membawa mulut.
Belum pernah lagi mana-mana sesi promosi saya tidak datang," katanya yang sebelum ini popular menerusi drama Arianna Rose.

Tuesday, January 12, 2016

Semuanya atas restu Mummy

Kuala Lumpur: “Semuanya atas restu Mummy,” kata pelakon, Shaheizy Sam,34, yang akan berkahwin dengan Syatilla Melvin, 25, yang juga pelakon pada 8 Februari ini.
Pengumuman khabar gembira itu dibuat mereka di hotel di sini, petang tadi.
Menurut Sam, mereka sudah lama berkawan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Walaupun berkawan, berjumpa tak selalu,” katanya.
Saksikan video tembual bual dengan bakal pengantin itu. Ada senyuman, juga tangisan kedua-duanya.

Monday, January 11, 2016

Personaliti glamor berubah

Selepas menjuarai pertandingan Gegar Vaganza, kehidupan Ayai Ilusi dan Siti Nordiana atau Nana berubah sekelip mata.
Ayai atau Zahruddin Kamaruddin adalah pemenang musim pertama awal Januari tahun lalu manakala Nana musim kedua yang berakhir awal Disember lalu.

Jadual harian mereka kini penuh dengan tawaran mengadakan persembahan mahupun menjayakan program TV terutama terbitan Astro.
Terbaru, Ayai dan Nana bakal menjayakan konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya pada 15 hingga 17 Januari ini bersama peserta Gegar Vaganza musim pertama dan kedua termasuk Haleeda, Farahdhiya, Nassier Wahab, Ezad, Nizam Laksaman dan Sharifah Zarina.
Sebagai juara musim pertama, Ayai juga tampil dengan single Manusia Sempurna menampilkan Awi Rafael manakala Nana pula merangka kerjaya seninya kembali.
Apa yang menarik mengenai Ayai dan Nana, penghibur berbeza zaman ini berubah dari sudut penampilan mahupun personaliti ke arah keislaman.
Bagaimana mereka meletakkan diri dalam industri dengan perubahan itu? Adakah dalam berdepan situasi industri seni tempatan yang berkembang dengan pantas ditambah dengan kemajuan teknologi terkini, membuatkan mereka berasa sukar untuk mengelola kerjaya dalam situasi hati dan kemahuan sudah berubah yang mahu memegang kukuh pada ‘pegangan’?
Ditemui pada majlis sidang media Konsert Mega Gegar Vaganza baru-baru ini, tentunya sebagai wanita dan kini berhijab, pandangan negatif lebih banyak dikaitkan pada Nana apabila dia kembali aktif.
Bagaimana Nana, 32, yang pernah popular dengan lagu Bola-Bola Api berdepan situasi sekarang dalam keadaan dirinya sudah berubah.
Kata Nana, setakat ini tiada apa pun yang berubah membabitkan pegangan, penampilan mahupun personaliti berbanding dulu dan sekarang iaitu selepas dia bergelar juara Gegar Vaganza.
“Pastinya sekarang ini ke mana saya pergi, sedaya upaya saya dahulukan solat. Aurat sudah tentu saya harus jaga dan baju yang digayakan tidak boleh ketat. Bagaimana bentuk dan potongannya, ia harus longgar dan fesyen tudung menutupi dada.
“Saya juga sedia maklum akan hukum menyanyi boleh mendatangkan fitnah. Begitupun selepas dirujuk ramai ustaz memberi pendapat berbeza mengenainya.
“Cuma dalam menjalani kerjaya seni sebagai penyanyi, saya pegang beberapa perkara. Menyanyi harus menutup aurat, boleh menyanyi dalam keadaan tidak melalaikan. Saya turut memberi penekanan terhadap waktu persembahan dianjurkan.
“Ia tidak boleh bertentangan dengan waktu Zuhur dan Asar atau apa saja waktu yang tidak melanggar azan. Saya selalunya akan menyanyi buat majlis yang berlangsung selepas Isyak. Kebetulan selalunya memang persembahan nyanyian begitu. Selepas Isyak baru ia bermula,” katanya.
Nana akui sejak menyertai Gegar Vaganza lagi, niat hatinya bukan untuk mencari populariti mahupun glamor tetapi lebih kepada membantu keluarga. Dia sedar statusnya sebagai ibu tunggal harus berusaha dan bekerja untuk menyediakan keperluan anak tunggalnya, Ryyan Nakhaie, 8.
“Setiap kali menunaikan solat sunat dhuha, saya selalu berdoa diberikan rezeki kepada saya dan keluarga. Bukan saja setakat wang ringgit, juga lebih kepada kehidupan sejahtera.
“Saya percaya, setiap apa yang kita buat bermula dengan niat dan cuba berdakwah dalam cara yang kecil dan mudah. Contohnya cara pemakaian.
“Saya tahu ada juga orang seperti saya mempunyai bakat lebih besar tetapi takut sama ada apa yang mereka lakukan itu berdosa atau tidak. Itu antara kita dengan Allah.
“Cuma sebagai hamba-Nya, kita harus menjauhi apa yang Allah larang. Sematkan dalam hati kalau kita jaga hubungan kita dengan Allah, pastinya Allah akan jaga kita,” katanya.
Mengenai pemilihan lagu yang bakal dirakamkan selepas ini, Nana akui tidak terlalu berkira berkenaan melodi tetapi liriknya harus bertemakan kerohanian.
Katanya, lagu itu biar mampu dijadikan makanan jiwa. Contohnya lagu Opick, Rapuh yang sangat disukainya.
“Sebagai manusia, kita lemah dan kadangkala alpa. Kita mudah goyah. Lagu Rapuh sangat dekat dengan jiwa. Kalau mahu menghasilkan single terbaru, saya mahu lagu seperti itu dan mahu orang rasa apa yang saya rasa.
“Saya mahukan karya apabila saya dendangkan, ia akan membuatkan saya berasa insaf disebabkan saya tidak sempurna. Diharap lirik lagu yang didendangkan itu nanti memberikan sesuatu walaupun kecil,” katanya.
Ayai mudah terap impak fleksibel
Ayai yang dikenali dengan lagu Puisi Cinta bersama kumpulan Ilusi, impak yang diterima sepanjang mengembangkan kerjaya seninya kembali selepas Gegar Vaganza musim pertama sangat fleksibel.
Perubahan diri dan kerjaya seninya juga tidak pernah menimbulkan konflik dalam diri malah di sebalik kesibukannya menjadi penyanyi, mengajarnya menjadi lebih berdisiplin dalam mencatur hidup bersama isteri dan anak.
Katanya, dia tiada masalah menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling dan statusnya sebagai artis. Malah dia tidak ada masalah untuk terus berkarya.
“Lagu Manusia Sempurna ciptaan Awi Rafael berupa lagu kerohanian tetapi ia diterima baik penggemar muda dan turut dalam senarai carta lagu popular dikebanyakan stesen radio.
“Rezeki dikurniakan Allah membuatkan saya bertambah kuat untuk meneruskan kerjaya seni ke arah positif. Saya kini menyiapkan lagu terbaru dihasilkan Tun Teja,” katanya.
Ayai juga akui tidak pernah mengehadkan dirinya hanya membawa lagu kerohanian dan menolak lagu bertema cinta yang didakwa boleh membawa kelalaian dan mempengaruhi nafsu.
Katanya, ketika ini dia lebih berminat mendendangkan karya bertemakan kehidupan tetapi tegasnya, cinta juga sebahagian daripada kehidupan dan pengertiannya sangat luas.
“Lagu cinta itu perlu dan ia tidak semestinya ditujukan kepada pasangan kekasih. Seperti saya, lagu cinta boleh ditujukan kepada isteri, cinta kepada ibu bapa dan anak.
“Malah lagu cinta kepada alam sekitar juga boleh dihasilkan dan cinta tidak mengira usia. Pada saya, ia terpulang kepada penerimaan peminat bagaimana mereka mentafsir lirik lagu cinta yang didendangkan. Kalau mereka melihat ia dari sudut negatif maka negatif jadinya,” katanya.

Tiada niat sembunyi pernikahan

Ramai selebriti tanah air menamatkan zaman bujang mereka penghujung 2015 terma­suk pelakon dan pelawak, Syuk (SYJ), 27, yang selamat bernikah dengan gadis pilihan, Rossalennah Natassyiah Asshaferah Mohd Salleh atau Sera, 23, pada 20 Disember 2015.

Syuk atau Mohamad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia tiada niat bernikah secara senyap dan menyembunyikan perkara itu.


Katanya, kerana bernikah dengan orang Sabah majlis dibuat secara sederhana di kampung pengantin perempuan, menyebabkan berita itu kurang diperkatakan.

“Kalau tiada aral, majlis persandingan sebelah saya di Pulau Pinang akan berlangsung sekitar Mac depan. Insya-Allah, saya akan mengundang peminat dan media.

“Buat masa sekarang, fokus saya pada persaingan Juara Parodi bersama Joey dan Sam Bunkface dalam kumpulan Abang Face.

“Disebabkan komitmen terhadap Juara Parodi juga, majlis pernikahan saya yang sepatutnya berlangsung pada 19 Disember, terpaksa bertukar tarikh keesokan hari.

“Apapun, saya bersyukur kerana perkara wajib iaitu nikah sudah dilaksanakan manakala majlis persandingan sebelah saya akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Syuk dan Sera bertunang Februari tahun lalu selepas beberapa tahun berkenalan. Mengenai wang hantaran dan mas kahwin diterima isteri, Syuk enggan mendedahkannya biar menjadi rahsia mereka.
“Apa yang pasti, saya terpaut hati dengan Sera kerana sikapnya yang penyayang, matang, memahami dan boleh terima saya seadanya.

“Saya juga yakin Sera wanita yang akan selalu ada di sisi saya sama ada dalam keadaan susah mahupunsenang.
“Kalau dulu saya perlu menjaga diri sendiri dan makan seorang, sekarang kos sara hidup bertambah menjadi dua orang.

“Jika kami dikurniakan anak awal pula, kos bertambah lagi. Sekarang, saya perlu gigih mencari rezeki selagi ada peluang.
“Penat bekerja perkara biasa. Sebagai suami, memang menjadi tanggungjawab saya mencari rezeki untuk keluarga,” katanya yang belum memilih destinasi bulan madu.
Selepas Juara Parodi berbaki dua minggu lagi untuk ke final, Syuk juga sibuk dengan persaingan Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) pula.

Katanya, dia tidak akan bersama kumpulan SYJ untuk persaingan MLM 2016 sebaliknya akan berganding dengan Joey dan Rahim (R2).
“Buat masa ini nama kumpulan baharu juga masih belum ada dan dalam proses mencari yang sesuai. Saya juga masih aktif berlakon dan akan muncul dalam drama Gondala Cinta Di Venice untuk RTM tidak lama lagi.

“Menariknya drama ini apabila saya mendapat peluang menjalani penggambaran di Itali. Inilah rezeki namanya. Walaupun saya berlakon watak pembantu sebagai penceria suasana dengan karakter komedi, tapi dapat juga peluang ke Itali untuk penggambaran.

“Ia peluang yang tak pernah saya duga. Kali pertama menjejak kaki ke Venice, saya sangat kagum dengan keindahan alam sekitarnya.
“Pemandangan indah dan pengalaman tak dapat dilupakan, kami berjalan secara berkumpulan sambil berpegangan tangan.

“Kalau di negara kita, saya gel hati melihat warga Indonesia atau Bangladesh yang jalan berpimpin tangan tetapi apabila berlaku pada diri sendiri di Itali, baru saya faham.
“Sebagai manusia biasa yang asing di negara orang untuk mencari rezeki, semestinya faktor keselamatan diutamakan,” katanya.

Waktu sama, Syuk juga menyimpan impian mahu melakonkan watak serius. Katanya, dia tidak memilih karakter tetapi jauh di sudut hati semoga ada peluang untuknya mencuba peranan baharu yang lebih mencabar.

Cody minta penduduk Langkawi doakan kejayaan

Langkawi: Rossaidi Abdul Rani, 21, yang dipilih antara dua protege kepada penyanyi Black dalam program realiti Mentor Milenia memuat naik status di dalam laman sosial Facebook meminta penduduk Pulau Langkawi mendoakan kejayaannya untuk meneruskan kemaraan dalam program itu yang mula disiarankan 3 Januari lalu.

Lebih dikenali Cody, anak muda kelahiran Pulau Tuba, di sini, dipilih oleh Black sebagai protege bersama Nurul Syazwanie Mohd Basri, 21, selepas tamat konsert pengenalan semalam.
Di dalam status Facebook itu dia bersyukur kepada Allah dan gembira serta terharu di atas sokongan semua dan berjanji akan membuat persembahan terbaik.
Tulisannya itu disambut komen positif selain ramai yang memberi kata-kata semangat untuknya meneruskan cabaran dalam program itu yang dikendalikan Issey Fazlisham daripada kumpulan Titan dan Marsha Milan Londoh sebagai pengacara.
Selain Black atau nama sebenar Hanifah Md Hanafiah, tiga lagi mentor yang terbabit dalam program realiti musim kelapan yang disiarkan setiap 9 malam Ahad di TV3 itu adalah Akim, Azlan dan Hazama.
Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.

Datuk Seri Vida dapat tawaran berlakon

Kuala Lumpur: Selepas menarik perhatian ramai dengan keputusannya untuk menjadi penaja pasukan bola sepak Kelantan, pengasas produk kecantikan Datuk Seri Dr Hasmizah Othman atau Datuk Seri Vida, 44, bakal mencipta kejutan lagi apabila memaklumkan dia bakal bergelar pelakon dan penerbit filem.


Vida ketika dihubungi berkata, dia ada mendapat tawaran berlakon daripada pengarah drama Michael Ang.
“Watak yang ditawarkan ialah sebagai diri sendiri atau ‘cameo’. Namun, saya belum membuat apa-apa keputusan kerana kekangan masa,” katanya yang hanya akan menyatakan persetujuan untuk berlakon menjelang bulan depan.

Vida berkata, jika berlakon dia mengidamkan watak seperti Elsa dalam filem animasi Frozen dan Maleficent yang dilakonkan Angelina Jolie dalam filem Maleficent pada 2014.

“Saya sukakan watak-watak fantasi,” katanya.

Selain itu, dia juga bakal menerbitkan filem, namun enggan berkongsi mengenai jalan ceritanya.
“Jalan ceritanya masih lagi dirahsiakan tetapi apa yang boleh saya katakan, filem ini memang akan menjadi filem yang sangat luar biasa," katanya.